ARTIKEL KEJURURAWATAN
Langkah Pencegahan Covid-19 dari Perspektif Orang Ramai
28 Mei, 2020- Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)
adalah penyakit berjangkit yang serius dan telah dikenal pasti pada bulan
Disember 2019 di Wuhan, China. COVID-19 telah menyebar ke seluruh dunia dan
menyebabkan pandemik yang sedang berlangsung. Menurut statistik yang terkini,
lebih daripada 5.5 juta kes telah dilaporkan di 187 negara. Virus COVID-19
menyebar terutamanya melalui titisan kecil yang dihasilkan oleh batuk dan
bersin. Orang tua, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah perubatan yang
mendasari seperti penyakit kardiovaskular, kencing manis dan penyakit
pernafasan kronik lebih cenderung untuk menghidap penyakit serius. Wabak ini
telah membimbangkan orang ramai tentang kesihatan mereka.
Penularan novel coronavirus atau lebih
dikenali sebagai COVID-19 telah melanda Malaysia pada 25 Januari 2020. Pelbagai
inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan rangkaian wabak
tersebut dapat dihapuskan dengan segera agar rakyat dapat meneruskan kehidupan
seperti biasa. Perintah Kawalan Pergerakan,(PKP) merupakan antara inisiatif
kerajaan yang telah dilaksanakan untuk mengawal penularan wabak COVID-19. PKP
membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai seperti
perhimpunan agama dan majlis perayaan di seluruh Malaysia.Walaupun PKP telah
digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,(PKPB), namun begitu
ini tidak bermakna rakyat Malaysia telah bebas sepenuhnya dari risiko jangkitan
wabak tersebut. Ketua pengarah kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah,
berkata dalam tempoh ini rakyat Malaysia perlu lebih bertanggunggjawab dalam
mematuhi prosedur operasi standard,(SOP) diatur kerajaan.
Menjelang musim perayaan, kebanyakan
rakyat didapati sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tambahan pula,ada juga di antara mereka meluangkan masa bersama keluarga
membeli barangan runcit di pusat membeli-belah setelah kerajaan membenarkan
empat individu serumah dan sekeluarga dalam satu kenderaan. Bagaimanapun, bagi
mengelak risiko penularan wabak meningkat, Majlis Keselamatan Negara, MKN sudah
membangunkan SOP sebagai panduan bagi sektor peruncitan yang dibenarkan
beroperasi ketika PKPB. Protokol yang diterapkan kepada pelanggan adalah
penggunaan hand sanitizer di pintu masuk, proses saringan suhu badan, pemberian
maklumat pelangan,serta meminima kemasukan pelanggan ke dalam sebuah premis
pada satu-satu masa dan penjarakan sosial 1 meter sepanjang masa. Pengusaha
perniagaan dan pelanggan perlulah mematuhi SOP kerajaan bagi membendung wabak
COVID-19.
Selain itu, kita juga haruslah mengamalkan
norma baru dengan mengelakkan 3S iaitu tempat yang sesak, sempit dan sembang
dekat. Kita mesti mengelakkan diri dari mengunjungi tempat tumpuan ramai seperti
pusat membeli-belah dan pasar. Hal ini dikatakan demikian kerana kita berkemungkinan
besar berdekatan dengan individu yang mempunyai gejala atau tidak bergejala
dengan tidak sengaja. Jika perjalanan tidak dapat dielakkan, ingatkan sentiasa
memakai topeng muka, membawa bahan pencuci tangan serta mengamalkan penjarakan
sosial sekurang-kurangnya
satu meter daripada satu orang dengan orang yang lain. Seterusnya, elakkan
berada di dalam kawasan yang tertutup seperti lif sebab peredaran udara kurang
baik dalam tempat yang sempit. Bersentuhan mudah berlaku dan penjarakan sosial tidak
dapat diamalkan dalam kawasan yang sempit. Kita juga hendaklah elakkan
bersembang pada jarak yang dekat kerana virus akan menyebar melalui titisan
kecil apabila kita bercakap. Penjarakan sosial amat penting tidak kira kita
berada di mana untuk mencegah COVID-19.
Langkah pencegahan Covid-19 yang seterusnya adalah dengan
mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat
digalakkan memakai alat topeng muka di tempat awam atau jika bergejala (Wear)
dan amaran (Warn) dari KKM yang lebih berkonsep peringatan. Berikutan penyebaran wabak Covid-19 di Malaysia, kini semua
rakyat hendaklah menjalani kehidupan dengan norma baru iaitu sentiasa
mengamalkan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan sabun dan
menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer). Bukan itu sahaja, para peniaga
kedai runcit, di gedung beli belah dan juga pasaraya juga perlu menyediakan
pembersih tangan di hadapan premis masing-masing dan di lain-lain tempat yang
strategik bagi membendung penyebaran virus Covid-19.
Perbuatan mencuci tangan dengan sabun perlu dijadikan
amalan seharian, bukan hanya untuk mencegah penularan COVID-19 semata-mata.
Jika seseorang berada di luar rumah, mereka perlu mencuci tangan sekerap
mungkin terutama apabila menyentuh sebarang permukaan. Jika di rumah pula,
orang ramai dinasihatkan mencuci tangan selepas selesai melakukan aktiviti
dalam rumah seperti memasak atau memegang permukaan yang kotor dan disyaki ada
kuman. Amalan mencuci tangan ini juga bukan sahaja dapat mencegah Covid-19
malah berkesan untuk kesihatan semua (dan menghindarkan) mana-mana penyakit
lain juga.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih menggalakkan amalan mencuci tangan
dengan menggunakan sabun berbanding penggunaan bahan nyah kuman, sekiranya
orang awam ada akses kepada air dan sabun. Walaupun ketika ini, ramai juga
pihak yang membuat bahan nyah kuman sendiri namun ia dikhuatiri bukan saja
tidak berkesan membunuh kuman malah mendatangkan mudarat. Penggunaan bahan nyah
kuman pula perlu mengandungi sekurang-kurangnya 60 peratus jumlah alkohol untuk
membolehkan ia berkesan. Bagaimanapun, bahan sedemikian yang dibuat sendiri,
dikhuatiri akan memberi kesan seperti melepuh atau alahan.
Seterusnya, ‘Wear’, individu yang bergejala pernafasan
seperti batuk atau pun selesema dan pekerja yang selalu berurusan dengan orang
ramai seperti pekerja di kaunter perkhidmatan, juruwang dan sebagainya
hendaklah memakai penutup mulut dan hidung. Bagi individu yang sihat mereka
tidak perlu memakai topeng muka di tempat awam berikutan penggunaan alat
perlindungan itu sepatutnya hanya digunakan individu yang sakit. Justeru,
setiap individu harus memainkan peranan membantu menyimpan bekalan topeng itu
untuk kegunaan pekerja kesihatan yang lebih memerlukan dengan hanya membeli
peralatan itu jika perlu. Berikutan kekurangan penjualan topeng muka di pasaran,
ramai rakyat Malaysia telah menggunakan topeng muka DIY dengan menjahit sendiri
topeng muka tersebut menggunakan kain. Akan tetapi, penggunaan topeng muka DIY
ini tidak begitu digalakkan sebab kajian mendapati bahawa topeng jenis ini
tidak dapat melindungi pengguna daripada jangkitan malah meningkatkan lagi
risiko jika tidak dipakai dengan betul. Oleh disebabkan masalah kekurangan
penjualan topeng muka ini, kerajaan Malaysia dan juga KKM telah mengeluarkan
kenyataan bahawa topeng muka hendaklah dipakai oleh individu yang bergejala
atau pun yang bekerja di kawasan yang tinggi risiko jangkitan bagi mengurangkan
pembelian panik.
Bagi konteks ‘Warn’ pula, polisi tidak bersalaman harus
dipatuhi oleh semua pihak untuk mengelakkan penyebaran virus Covid-19. Kita
boleh terus bertegur sapa dan memberi salam kepada rakan sekerja, saudara-mara
dengan meletakkan tangan kanan di dada kiri dan tunduk sedikit untuk
menunjukkan tanda hormat. Seterusnya, amalkan etika batuk dan bersin, lakukan
diinfeksi di tempat yang kerap disentuh dan juga melakukan pemeriksaan suhu
badan di semua pintu masuk premis. Mereka yang demam atau bergejala tidak
dibenarkan memasuki bangunan dan disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik
atau hospital berdekatan dengan segera dan kekal berada di rumah sehingga
sembuh.
Di samping itu,
terdapat juga langkah pencegahan COVID-19 dari perspektif orang ramai melalui
usaha sendiri untuk mendapatkan maklumat tentang COVID-19 dari semasa ke
semasa. Ianya penting bagi mendapatkan maklumat yang sahih. Maklumat yang benar
dan sahih ini penting bagi membolehkan orang ramai membezakan antara maklumat
yang benar ataupun maklumat yang palsu. Hal ini kerana, penyebaran berita palsu
melalui media sosial bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Melalui media
sosial, berita palsu mampu sampai ke pengetahuan orang ramai dalam sekelip mata
tanpa mengenal sempadan. Malangnya, kesahihan berita tidak menjadi keutamaan. Antara
berita palsu yang telah tersebar adalah kononnya pengarah kesihatan
mengeluarkan kenyataan tentang larangan ke luar negara selama dua tahun dan
larangan makan di kedai makan selama setahun. Oleh itu, orang ramai sendiri
hendaklah berusaha mendapatkan maklumat yang sahih. Pengetahuan berita palsu
penting juga untuk mengelakkan kita daripada menjadi dalang penyebar berita
yang tidak sahih. Jadi, orang ramai hendaklah berhati-hati tentang
berita-berita yang dihidangkan melalui media sosial seperti WhatsApp, Facebook,
Twitter, Telegram atau Instagram.
Seterusnya, dengan
mendapatkan maklumat yang sahih dan benar, orang ramai mampu untuk mengurangkan
dan mengelakkan perasaan panik tentang COVID-19 tersebut. Hal ini kerana di
awal perlaksanaan PKP, kebanyakan orang awam telah membanjiri pasaraya untuk
membeli barang keperluan secara berlebihan kerana bimbang tentang penularan COVID-19.
Sehubungan dengan itu, banyak kesan yang timbul gara-gara tindakan sedemikian
seperti kesesakan di tempat awam yang mampu meningkatkan risiko penularan COVID-19.
Walhal, orang awam masih boleh keluar membeli barang keperluan semasa tempoh
PKP berjalan dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Selain itu, dengan
mendapatkan maklumat yang sahih dan benar, orang ramai mampu untuk menjadi
rakyat yang sentiasa peka tentang isu COVID-19 dari semasa ke semasa. Tidak hanya maklumat di dalam negara tetapi
maklumat tentang luar negara. Rakyat Malaysia harus sedar dan peka tentang
bahayanya virus ini, dengan mengambil iktibar apa yang berlaku di negara luar.
PKP harus dipatuhi tanpa kompromi agar penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat
dapat diatasi. Rakyat juga dinasihatkan untuk mengambil tahu tentang mekanisme
jangkitan COVID-19 tersebut agar rakyat dapat meningkatan tahap pemahaman
penularan virus tersebut. Hal ini kerana, ditegaskan bahawa COVID-19 lebih
berbahaya berbanding kuman yang menyebabkan tuberkulosis (tibi) ataupun virus
yang menyebabkan HIV. Meskipun COVID-19 tidak tersebar melalui udara, ia mudah
dijangkiti melalui sentuhan. Namun jika rakyat tidak peka, bersikap alpa dan
tidak mengambil iktibar tentang kejadian penularan di luar negara, tidak
mustahil penyakit ini tersebar secara meluas di kalangan masyarakat.
Banyak sumber
sahih yang boleh diperolehi oleh orang ramai tentang COVID-19 seperti berita di
televisyen. Berita di televisyen sentiasa dipercayai kerana maklumatnya terus
dari kerajaan dan pengarah kesihatan. Rakyat juga dapat menonton pengumuman
yang disampaikan oleh pengarah kesihatan, perdana menteri dan lain-lain secara
langsung. Seterusnya, maklumat yang sahih juga boleh diperolehi melalui surat
khabar. Namun, untuk memperoleh surat khabar, rakyat perlu keluar untuk
membelinya. Oleh itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih daripada
surat khabar digital di internet. Kebanyakan rakyat mempunyai telefon pintar
yang mudah untuk mengakses internet dan memuat turun aplikasi surat khabar
memandangkan semua maklumat mudah diperoleh di hujung jari. Seperti contoh,
rakyat kini boleh memuat turun aplikasi Telegram dan sertai pautan dari
Kementerian Kesihatan Malaysia atau Majlis Keselamatan Negara untuk sentiasa
mendapatkan maklumat tentang COVID-19.
Seterusnya, seperti
yang kita ketahui, salah satu langkah pencegahan untuk menyekat penularan
aktiviti COVID-19 ini ialah menyekat segala pergerakan samaada dalam atau luar
negara, terutama dari tempat zon merah. Pada 18 Mac 2020 yang lalu, Tan Sri
Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan dan penutupan
semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan
penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan,
pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan,
kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan,
pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan. Institusi Pendidikan
samaada sekolah atau Institusi Pendidikan Tinggi juga telah ditutup. Kerajaan
telah menggalakkan supaya meneruskan pembelajaran atas talian sahaja dan
membatalkan semua kelas yang memerlukan bersemuka dengan orang ramai. Pelajar-pelajar
dari luar negara diperintah supaya dikuarantin 14 hari sebelum pulang ke
pangkuan keluarga untuk mengelakkan wabak itu merebak.
Pihak polis juga
telah mengadakan sekatan jalanraya untuk mengelakkan orang ramai keluar masuk
dari zon merah ke zon hijau atau sebaliknya. Pada 27 Mac hingga 6 April, Majlis
Keselamatan Negara juga telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketat di segelintir kawasan terutama zon merah seperti di Hulu Langat,
Simpang Renggam, Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur dan seluruh Kawasan Masjid
India. Untuk mengetatkan lagi pergerakan keluar masuk kawasan ini, rakyat akan
dikenakan kompoun atau pejara bagi sesiapa sahaja yang melanggar arahan ini.
Kerajaan juga telah mengadakan sekatan
pelancong ke dalam dan luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara,
mereka dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan
kuarantin secara sukarela selama 14 hari.
Langkah ini sudah
mula menunjukkan hasil. Hal ini kerana pada awal Mac dan April, kes COVID-19 adalah
3 digit setiap hari, namun sejak PKP fasa 5 ini dimulakan, jumlah kes setiap
hari telah berkurangan dan secara puratanya hanya 2 digit setiap hari.
Akhir sekali,
memang bukan mudah untuk menangani pandemik COVID-19 ini, namun ia tidak
mustahil. Seperti di negara China, negara itu adalah pencetus penularan
penyakit ini, namun dengan kerjasama dari semua pihak kerajaan dan rakyatnya,
mereka berjaya menurunkan kadar kes COVID-19 di negara mereka. Jika
dibandingkan dengan negara Amerika Syarikat, kita dapat lihat kes COVID-19 meningkat saban hari dan mencecah jutaan
rakyat Amerika Syarikat yang telah terkena penyakit ini. Hal ini kerana kita
dapat lihat sebahagian rakyat mereka enggan mengikuti saranan kerajaan dan
ingin menjalankan kehidupan seharian seperti biasa. Oleh itu, kita haruslah
mengambil iktibar dengan kejadian ini. Kita haruslah mengikuti saranan kerajaan
dalam menangani isu COVID-19 ini dengan memberi kerjaasama sepenuhnya kepada
kerajaan. Bagi mengelakkan 3C dan mengamalkan 3W adalah menjadi tanggungjawab
setiap individu dan juga pihak pengurusan. Sentiasa peka dengan polisi terkini
yang dikeluarkan oleh kerajaan dan segera menyebarkan berita yang benar kepada
individu yang lain. Seterusnya, sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial
sekurang-kurangnya 1 meter daripada individu lain dan sentiasa mengamalkan
kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan. Kesimpulannya, semua pihak perlu
memainkan peranan yang penting dalam membendung penyebaran wabak ini. Ingatlah,
kita teguh, kita pasti menang.
Rujukan
Kiley, P. 2020. Expert: To prevent pandemics like COVID-19, ‘take care of nature’. Conservation International. https://www.conservation.org/blog/expert-to-prevent-pandemics-like-COVID-19-take-care-of-nature [23 Mei 2020].
Kurlander, C. 2020. The Deadly Polio Epidemic and Why It Matters for Coronavirus. https://www.discovermagazine.com/health/the-deadly-polio-epidemic-and-why-it-matters-for-coronavirus [25 Mei 2020].
Lock, H. 2020. How Can We Prevent a Pandemic Like COVID-19 From Happening Again? https://www.globalcitizen.org/en/content/how-prevent-covid-19-pandemic-happening-again/ [26 Mei 2020].
Mutakhir. 2020. Vaksin Covid-19 dijangka siap awal. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/02/543780/vaksin-covid-19-dijangka-siap-awal [25 Mei 2020].
Sariha Mohd Ali. 2019. Vaksin Cegah Penyakit. BHOnline. https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/12/638520/vaksin-cegah-penyakit [26 Mei 2020].
Wikipedia. 2020. COVID-19 pandemic in Malaysia. https://en.wikipedia.org/wiki/COVID-19_pandemic_in_Malaysia [27 Mei 2020].
Rujukan
Kiley, P. 2020. Expert: To prevent pandemics like COVID-19, ‘take care of nature’. Conservation International. https://www.conservation.org/blog/expert-to-prevent-pandemics-like-COVID-19-take-care-of-nature [23 Mei 2020].
Kurlander, C. 2020. The Deadly Polio Epidemic and Why It Matters for Coronavirus. https://www.discovermagazine.com/health/the-deadly-polio-epidemic-and-why-it-matters-for-coronavirus [25 Mei 2020].
Lock, H. 2020. How Can We Prevent a Pandemic Like COVID-19 From Happening Again? https://www.globalcitizen.org/en/content/how-prevent-covid-19-pandemic-happening-again/ [26 Mei 2020].
Mutakhir. 2020. Vaksin Covid-19 dijangka siap awal. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/02/543780/vaksin-covid-19-dijangka-siap-awal [25 Mei 2020].
Sariha Mohd Ali. 2019. Vaksin Cegah Penyakit. BHOnline. https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/12/638520/vaksin-cegah-penyakit [26 Mei 2020].
Wikipedia. 2020. COVID-19 pandemic in Malaysia. https://en.wikipedia.org/wiki/COVID-19_pandemic_in_Malaysia [27 Mei 2020].
Comments
Post a Comment